12 Feb 2013

~ Aku Sudah Lama Tidak Menulis ~

Sedari kecil kita dididik agar berhati-hati bila bertutur atau mengeluarkan kata-kata, jangan sampai melukakan hati dan perasaan orang lain. Jangan mengata orang. Jangan memperkecilkan usaha atau kemampuan seseorang. Jangan menyampaikan perkara yang tiada kesahihannya. Jangan berkomplot dengan mereka yang suka memburuk-buruk individu yang lain. Jangan berbohong. Malah banyak lagi JANGAN..JANGAN..JANGAN..yang lain.
Saya pernah mendengar tazkirah seorang ustaz, beliau mengatakan ada tiga perkara yang kita dibolehkan berbohong. Salah satu daripadanya adalah seandainya berbohong itu dapat mengeratkan tali silaturrahim..maka berbohonglah pada ketika itu.

Maka, saya pun mengambil kesimpulan daripada tazkirah itu. Bila mana seorang kawan saya mengatakan keburukan seorang kawan yang lain..biarlah hanya saya yang tahu dan saya akan menapis ungkapannya menjadi seharum kasturi bukannya duri yang mampu membuat 'musuh' manusia terbahak-bahak atas perselisihan faham sekecil hama menjadi pertelingkahan sebesar bom atom yang bisa meledak bila-bila masa. Walaupun saya harus berbohong demi menjaga satu ikatan persahabatan. Memang hati terasa sebak bila kita dikaitkan dalam sesuatu isu. Sedangkan kebenarannya hanya DIA dan kita saja yang tahu.

Tidak pernah terlintas di hati walau sekelumit rasa untuk memburukkan orang lain. Cuma sering kata-kata ini dipersalahertikan oleh sesetengah pihak. Seandainya ada yang terasa..saya memohon maaf dan sekiranya saya mampu memohon maaf atas kesalahan yang tidak disengajakan..mengapa anda tidak mampu memaafkan yang lain. Hidup hanya satu persinggahan. Apa yang ada semuanya pinjaman semata. Tiada yang lebih berkuasa dan yang teratas melainkanNYA. Renungan buat diriku juga semua yang dikasihi. Muhasabah itu adalah yang terbaik bila kita direndung masalah mahupun ujian sebegini daripadaNYA.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan