30 Okt 2013

TULISLAH DARI HATI


Bukan mudah apabila seseorang itu sudah melangkah ke dalam dunia penulisan. Berbagai cubaan dan rintangan yang harus dilalui. Berbagai kerenah yang harus dihadapi. Baik sebagai penulis mahupun sebagai penerbit. Apa lagi jika tugasnya sebagai editor. Parah juga kalau dah sampai tahap migraine ataupun tekanan darah tinggi semakin meningkat.

Ada orang boleh menulis, bahasanya indah memukau kalbu. Ada pula orang suka menulis tapi ayat tunggang terbalik, isi bertabur. Jika berminat untuk menulis, tulislah atas namaNYA. Carilah guru yang berpengalaman untuk membimbing kita. Bersyukur dan menerima setiap teguran dengan dada yang lapang. Jangan sesekali menderhakai guru itu. Luaskan ilmu melalui pelbagai bahan bacaan yang bermanfaat. Penulis harus mendisiplinkan diri. Menulis satu mukasurat sehari. Jika tiada waktu, maka tulislah kekurang-kurangnya setengah mukasurat sehari. Jangan berhenti menulis. Jaga bahasa dan elakkan kesilapan yang sering dipandang remeh. Adakalanya, manuskrip kita seakan serupa dengan manuskrip orang lain tapi mungkin cara penyampaiannya berlainan. Tiada manuskrip yang serupa dari segi bahasa dan jalan cerita melainkan ada yang mencilap karya orang lain. Carilah kelainan dan kelebihan yang ada dalam diri sendiri. Jangan mudah putus asa sekiranya manuskrip pertama ditolak oleh syarikat penerbitan kerana ada penulis yang lebih lama dan lebih berpengalaman juga melalui detik dan peristiwa yang sama sebelum berjaya. Percayalah, ada beberapa penulis yang berjaya sekarang pernah juga ditolak manuskrip mereka sampai ke paras lutut sebelum menjadi penulis bestseller. 

Ketika ingin menghantar manuskrip, selidikilah dahulu latar belakang sesebuah syarikat penerbitan tersebut. Harus diingati bahawa penerbit adalah tempat kita berurusniaga. Merekalah yang akan menilai manuskrip kita sama ada layak untuk diterbitkan ataupun sebaliknya. Jangan sesekali menaikkan status di laman facebook dengan mengutuk penulis lain mahupun syarikat penerbitan hanya kerana hati kita terguris ataupun rasa tidak puas hati kita terhadap mereka. Jagalah imej sebagai penulis professional. Dengar dan terima setiap komen pembaca kerana mereka adalah 'pelanggan' kita. Sentiasa cuba untuk memperbaiki kelemahan. Jangan sesekali lupa diri. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan