17 Jan 2014

Pena Yang Terdampar


Lamanya penaku menyepi.  
Bukan kerana bicaraku gersang.  
Cuma jiwa terasa berombak... 
Sesekali terdampar di persisiran yang tiada berpenghuni.  
Tercari-cari sesuatu yang ada dalam tiada.








23 Nov 2013

Suaraku Bisu


Ingin aku berbicara
Namun suaraku bisu
Ingin aku luahkan rasa
Bimbang akan mengores hatimu

Siapakah aku di matamu
Tiada maknakah hadirku
Aku berdiri antara beribu
Namun aku hanya seperti batu

Sedarkah kau akan deritaku
Hadir bagai halimunan
Jeritanku sendu suaraku bisu
Masih tiada yang pedulikan


Usah Kau Pedulikan Bicara Mereka



Jangan sesekali kau biarkan kata-kata tidak bermakna mencantas benih harapanmu,
kerana kau pasti tahu yang mana kaca dan yang mana permata. 
Biarkanlah.. biarkan saja mereka dengan kata-kata mereka.
Biarkan mereka puas dengan kata-kata nista yang tidak bermakna.
Sesungguhnya nilai harga dirimu lebih besar daripada segala-galanya.
Apa yang pasti kau mampu berdiri walau tanpa kata puji.
Kau boleh bangkit walau tanpa mereka di sisi.
Cuba kau perhatikan batu-batu yang berada di sekelilingmu, 

pasti kalau kau gilap, ada yang akan berseri.
Jangan kau biarkan kaca itu mencalar luka di hatimu.
Jangan bersedih lagi duhai hati..

30 Okt 2013

TULISLAH DARI HATI


Bukan mudah apabila seseorang itu sudah melangkah ke dalam dunia penulisan. Berbagai cubaan dan rintangan yang harus dilalui. Berbagai kerenah yang harus dihadapi. Baik sebagai penulis mahupun sebagai penerbit. Apa lagi jika tugasnya sebagai editor. Parah juga kalau dah sampai tahap migraine ataupun tekanan darah tinggi semakin meningkat.

Ada orang boleh menulis, bahasanya indah memukau kalbu. Ada pula orang suka menulis tapi ayat tunggang terbalik, isi bertabur. Jika berminat untuk menulis, tulislah atas namaNYA. Carilah guru yang berpengalaman untuk membimbing kita. Bersyukur dan menerima setiap teguran dengan dada yang lapang. Jangan sesekali menderhakai guru itu. Luaskan ilmu melalui pelbagai bahan bacaan yang bermanfaat. Penulis harus mendisiplinkan diri. Menulis satu mukasurat sehari. Jika tiada waktu, maka tulislah kekurang-kurangnya setengah mukasurat sehari. Jangan berhenti menulis. Jaga bahasa dan elakkan kesilapan yang sering dipandang remeh. Adakalanya, manuskrip kita seakan serupa dengan manuskrip orang lain tapi mungkin cara penyampaiannya berlainan. Tiada manuskrip yang serupa dari segi bahasa dan jalan cerita melainkan ada yang mencilap karya orang lain. Carilah kelainan dan kelebihan yang ada dalam diri sendiri. Jangan mudah putus asa sekiranya manuskrip pertama ditolak oleh syarikat penerbitan kerana ada penulis yang lebih lama dan lebih berpengalaman juga melalui detik dan peristiwa yang sama sebelum berjaya. Percayalah, ada beberapa penulis yang berjaya sekarang pernah juga ditolak manuskrip mereka sampai ke paras lutut sebelum menjadi penulis bestseller. 

Ketika ingin menghantar manuskrip, selidikilah dahulu latar belakang sesebuah syarikat penerbitan tersebut. Harus diingati bahawa penerbit adalah tempat kita berurusniaga. Merekalah yang akan menilai manuskrip kita sama ada layak untuk diterbitkan ataupun sebaliknya. Jangan sesekali menaikkan status di laman facebook dengan mengutuk penulis lain mahupun syarikat penerbitan hanya kerana hati kita terguris ataupun rasa tidak puas hati kita terhadap mereka. Jagalah imej sebagai penulis professional. Dengar dan terima setiap komen pembaca kerana mereka adalah 'pelanggan' kita. Sentiasa cuba untuk memperbaiki kelemahan. Jangan sesekali lupa diri. 





6 Okt 2013

PERSIMPANGAN



sering antara persimpangan hidup ini
aku tersungkur di pertengahan jalan
lorong sepi dan suram kutelusuri 
mengharap secebis sinar pelangi di penghujung jalan
perjalanan yang jauh di belakang melelahkanku
aku cuba semampuku merangkak dan mara terus ke depan
kudratku mulai lemah semangatku hampir patah
namun tiada yang seperit hati yang merana
entah apa yang kucari dalam erti sebuah kehidupan
semua yang kusentuh berakhir dengan penderitaan

dosa yang kuhimpun menyeksa dirinya
mengapakah begitu selalu adanya
jiwaku merintih mengalir darah
apakah mampu pulihkan semuanya
seandainya waktu bisaku putar
inginku balut semua luka
Tuhan tolonglah daku yang kini merayu
lenyapkan segala sakit derita ini

tuntunlah daku ke jalanMU






5 Okt 2013

Aku & Dunia Penulisan

Dunia penulisan dan diriku bukanlah satu nama yang sinonim. Ia lebih tepat dengan peribahasa 'Jauh Panggang Dari Api'. Entah kenapa apabila seorang teman mengesyorkan aku melibatkan diri dalam Cabaran Menulis Cerpen bertemakan “FOBIA”...aku terus menerimanya, walhal tempoh cabaran tersebut hanya tinggal beberapa hari lagi. Tanpa sebarang pengalaman dan ilmu dalam merangka sebuah cerpen, apatah lagi teringat akan keputusan peperiksaanku yang tidak berapa cemerlang, aku lanjutkan saja. Pada tanggapanku, aku cuma buat untuk suka-suka.  Dalam 2 atau 3 hari, dengan bantuan daripada teman yang memberi cadangan tersebut, aku pun siap menulis sebuah cerpen yang pada pandanganku ia hanya sebuah cerpen lawak yang belum tentu layak masuk dalam kategori Fobia.  Namun, aku cukup puji dengan kecekapannya membantu dan sentiasa memberi semangat kepadaku untuk terus mencuba.  Dia bukan sekadar memberi semangat malah memperbetulkan kesilapanku.  Ada kalanya aku rasa hairan.  Kami tidak pernah bersua muka, hanya sekadar berhubung melalui facebook ataupun telefon.  Sungguh aku terharu dengan keikhlasan dan kesabarannya, walaupun aku rasa aku memang lembab malah sering mengeluh.  5 Jun 2013, 10:04 malam - aku berjaya menghantar cerpen tersebut, begitu juga dengan 19 buah cerpen lagi daripada teman penulis yang lain.

-ANISA MILA (PATUNG)
-MAZUAN LYNDA (BOTAK ITU CINTA)
-BRADO KAPAK (ANAK)
-EJIM PARADISE MfD (HIJAB YANG TERBURAI)
-DYH USEN (TELEFON BERBUNYI AYAM BERKOKOK)
-FATIN LIYANA (MATI)
-SHARINA ELISA (KERIS SI IBLIS)
-SAIFUDIN JALIS (KHURAFAT)
-NURHAYYU FITRAH (GAMOPHOBIA ALONG)
-FAIZAL (BILIK F 01314) 
-FATRIM (AKU BERSAMAMU)
-ATTOKZ DIKULGAI (PANGGIL AKU ALGOJO)
-HAZLIANA ZAHAR (KU TIBA LAGI)
-ASMAH HASHIM 
*KEGAGALAN
*PEREMPUAN
-NAZZ SUKERI
*BEKAS PENYANYI YANG ACOUSTICOPHOBIA (TAKUT KEPADA BUNYI BISING
*CINTA MONYETKU YANG VENUSTRAPHOBIA (TAKUT KEPADA PEREMPUAN
CANTIK) 
*PEMBURU JEMBALANG DAN PEMBANTU YANG HADEPHOBIA (TAKUT PADA
NERAKA.) 
*REMAJA HYELO?PHOBIA/HYALOPHOBIA(TAKUT KEPADA KACA) 
*WARTAWAN CYBERPHOBIA(TAKUT KEPADA KOMPUTER) 


Senarai nama penulis yang hebat...namaku terselit di antara barisan penulis yang berpotensi.  Aku mula gementar.  Tidak mengharapkan cerpen aku terpilih, cuma aku mahu kongsikan kisah tersebut di status aku, tapi kata temanku, "Jangan! Manalah tahu kalau terpilih. Kita sabar menantikan keputusan daripada pihak penerbit ROMAN."  Aku rasa bagai nak tergelak ketika itu juga.  Aku? Cerpenku? Ah, mana mungkin.

Hari berganti minggu, akhirnya pada 3 Julai 2013, 1:26 petang - keputusan Cabaran Menulis Cerpen “FOBIA” pun diumumkan oleh Tuan Khairulnizam Bakeri [penulis novel PECAH].  Daripada senarai 20 cerpen yang dihantar, hanya 8 yang terpilih.  

- Anisa Mila
- Dyh Usen
- Fatin Liyana
- Sharina Elisa
- Nurhayyu Fitrah
- Faizal Sulaiman
- Fatrim Syah
- AttOkz Dikulgai

Aku teliti sekali lagi senarai nama tersebut.  Nurhayyu...? Nurhayyu Fitrah...? Betulkah...? ALHAMDULILLAH...!  
Sungguh aku tak menyangka.  ALHAMDULILLAH!  

Dengan berlangsungnya pelancaran Antologi Cerpen Fobia, pada 29 September 2013 sempena The Art for Grabs di Annexe Gallery Central Market Kuala Lumpur, maka terbitlah buku FOBIA dengan koleksi 16 buah cerpen daripada 16 penulis. 


16 buah cerpen fobia daripada 16 penulis  


         Buku Antologi Cerpen FOBIA                                                                          My Doodles


Rasanya tajuk cerpen Fobia aku ini sudah masuk ke-3 kali diubah...
dari Gamophobia Along --> Takdir --> Kalau Dah Jodoh
Apa-apa pun aku tetap bersyukur dan berterima kasih kepada insan yang telah banyak membantu aku.



My Own Handmade Craft



15 Sep 2013

La Tahzan



Saya cuma seorang teman..
yang jauh daripada seorang kawan,
tapi lebih dekat kepada seorang sahabat,
yang akan menegurmu bila kau salah,
dan menyokongmu kala kau jatuh..
Tiada di sisi di saat kau gembira..
Namun akan mendengar bila kau perlukan seorang teman..