6 Jun 2013

GAMOPHOBIA ALONG - CERPEN




TAJUK:  GAMOPHOBIA ALONG


                Rombongan pengantin lelaki sudah pun bertolak.  Perasaan aku kala itu bercampur baur.  Rasa gembira bagi pihak adik aku pun ada.  Tapi pada masa yang sama aku juga mula rasa gelisah.  Entahlah apa yang tak betul pada diri aku ini.  Namaku  Khairil Fadzli.  Anak sulung daripada tiga orang adik beradik.  Jelas terpancar kegembiraan di wajah kedua orang tuaku.  Seronok sangat agaknya adik bongsuku berkahwin.  Mataku masih lagi memandang ke arah mereka yang berwajah riang, tapi apabila mata mereka terpandang aku terus wajah mereka bertukar bagaikan awan hitam yang menunggu hujan turun.  Cepat-cepat aku larikan mataku dari memandang  mereka.  Aku terus menunduk.   Adakah itu salahku jika tiada jodoh dengan Rosmizah?  Terpaksa aku melepaskan dia kepada adik kesayanganku, Khairul Anwar.  Pernah satu waktu mak dan abah menjodohkan aku dengan Asmah , anak Ustaz Hashim.  Atas sebab-sebab tertentu, Asmah tersangkut pula dengan adik kedua aku.  Alasan Asmah, aku tidak cukup tegas, tiada ciri-ciri ketua keluarga.  Terkedu aku mendengarnya.  Akhirnya dia berkahwin dengan adik keduaku.  Tinggalkan aku sepi kembali.  Ironinya, aku langsung tak rasa sedih.
                Usai kenduri, aku dan kedua orang tuaku paling sibuk mengemas kawasan rumah di luar dan dalam.  Mak dan abah sudah menyandar di sofa  yang telah kembali ke tempatnya.  Aku meneruskan kerja-kerja yang masih berbaki.  Mata mak tepat memandang wajahku, tidak berkelip.  Bagai hendak menelanku hidup-hidup.
                “Kau bila lagi, long?  Umur dah lanjut.  Adik-adik kau semua dah berumah tangga. Angah pun dah ada dua orang anak.  Apa nak jadi dengan kau ni?”  keluh  mak tak habis-habis.  Aku mengeluh.  Tahan sahajalah telinga.
                “Yalah long,  mak dan abah kau ni nak juga pergi  berbulan madu kali kedua.  Tapi  tak boleh, kerana terpaksa menjaga kau yang bujang telajak ni.  Silap haribulan mak dan abah juga yang dapat anak dulu dari kau,”  sampuk abah sambil tersenyum mengerling ke arah mak.
                “Hish!, ke situ pula orang tua ni melalut.  Malulah sikit depan anak tu,”  mak pandang abah sambil tersipu malu, macam pengantin baru pula.  Aku tersenyum dalam hati.
                “Eh, apa nak dimalukan. We are adults, sayang oi!”  kata abah mengusik mak.
                “Speaking London-lah pula.  Sekolah dapat nombor corot ada hati nak speaking,”  sindir mak kepada abah.  Abah mencebik.  Geli pula hatiku melihat gelagat mereka.
                “Oh, Well you know…  masa tu abang tengah mengorat ayang, ingat tak?”  mengimbau kenangan lama.  Mak tersipu malu diusik abah lagi.  Macam orang muda pula reaksi mereka.  Aku tersengih, geli hati pula.  Aku rasa kalau bab-bab romantik ni, abah memang jaguh.
                “Ehem…  mak, abah.  Along minta diri dulu, esok kerjalah,” aku memberi alasan untuk mengelak dari mendengar bebelan mak dan abah.
                “Oh, no,no,no…  along berdiri kat sini sampai kami habis bercakap. You understand?” kata abah.   Malam itu teruk aku dibasuh oleh mak dan abah.  Tidak bergerak badanku dibuat oleh mereka.  Naik lenguh seluruh tubuhku, hanya mataku sahaja yang terkedip-kedip memandang wajah mereka.  Jam baru menganjak ke pukul 8.00 malam tapi mataku sudah mula merasa mengantuk.  Sesekali kepalaku terhantuk ke depan, bagaikan orang sedang memancing ikan, terlena lantaran terlalu lama  menunggu kail dimakan ikan.  Pening kepala aku didera sebegitu oleh mak dan abah. Bukan sahaja dera metal tapi fizikalku sekali kerana membiarkan aku berdiri macam tiang lampu menghadap mereka. 
                “Tengok tu, asal saja kita sebut pasal kahwin, begitulah rupanya,” mak pandang abah lalu mendekatiku. 
                “Along!”  jerit mak di hujung telingaku. 
                “Aku terima nikahnya…  aku terima nikahnya,” kataku menggelabah dijerkah mak. 
                “Mana? Apa? Siapa?” bagaikan orang latah.  Aku tersengih bila sahaja terpandang wajah mak yang berdiri betul-betul di hadapanku dengan wajah cemberut.  Aku menggaru kepala terus menunduk.  Malu pula aku dibuatnya.
                “Eee! Budak ni!  Along pergi masuk tidur.  Kami ni juga yang  penat bercakap.  Dia boleh buat tak tahu.  Tidur sambil berdiri?” mak menolak tubuhku.  Dia menggelengkan kepala dan mengangkat tangan tanda mengalah.  Jelas terpancar  rasa kesal di wajah mereka  apabila melihat telatah aku seperti tidak berminat langsung.  Sedih pula aku tengok keadaan mereka macam itu.   Dapat sahaja lampu hijau, aku cepat-cepat berlalu sebelum mak dan abah tukar fikiran.  Terlepas lagi.  Lega rasanya.
               
II
                Di pejabat pula, saban hari aku dikenakan oleh rakan sekerja.  Lebih-lebih lagi Eddie.  Kalau sehari dia tidak mengusikku memang tak sah.  Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke pejabat  pasti akan  bermulalah babak Maharaja Lawak Singapura.  Aku pula sudah lali dengan lawak tak lucunya itu.  Aku tidak ambil pusing.  Apa yang  aku tahu aku perlu buat kerja sendiri.  Hujung bulan gaji masuk poket.  Seharian menyiapkan kertas kerja yang berlonggok atas mejaku membuatkan aku lupa untuk keluar makan.  Nasib baik mak ada bekalkan aku nasi berlauk.  Teringat aku kata-kata mak pagi tadi. 
                “Kalau kau dah kahwin hari tu, sudah pasti isteri kau dah masakkan yang sedap-sedap untuk kau tiap-tiap hari.  Tak payahlah mak siapkan bekal untuk kau,”  leter emak.  Aduh!  Sakitnya telinga aku pagi-pagi sudah kena cuci dengan ayat sindiran yang penuh kasih sayang daripada mak.
                “Ala, mak… kalau setakat nak sediakan makan minum along, mak pun boleh masakkan,”  jawabku.
                “Bertuah punya budak.  Along ingat mak ni masih muda remaja lagikah? Bila-bila malaikat boleh datang dan cabut nyawa mak ni, tau tak?” Mak mengetap bibir sambil tangannya sempat memulas cupingku.
“Aduh, ampun mak!  Along gurau saja tadi tu.” Mak melepaskan telingaku.  Aku menggosok-gosok telingaku yang pedas dipulas mak tadi.  “Ala, mak… kalau setakat nak masak tu, along sendiri pun boleh buatlah,” tegasku.
“Ha ah, yalah tu.  Maggi masuk dalam mangkuk lepas tu kau tuang air panas.  Macamlah mak tak kenal perangai kau tu.  Semuanya nak yang ringkas.  Tengok sajalah badan kau yang kurus keding tu.  Sekali angin tiup, entah ke mana kau terbang,”  sindir mak.  Aku menyengih.  Itu sahajalah yang mampu aku lakukan.  Kalau dibalas panjang lagilah khutbah mak walaupun hari Jumaat lambat lagi.  Nasi di dalam bekas plastik aku pandang lama.  Akhirnya aku suakan nasi ke mulutku. 
                Aku sendiri tidak faham dengan sikapku.  Asal sahaja sebut soal kahwin pasti jantung aku berdegup  laju seolah-olah nak tercabut dari tangkainya.  Tanganku berpeluh dan sejuk.  Rasa nak pitam.  Aku rasa ruangan semakin sempit seperti dinding mahu menghimpit aku.  Selera makanku pun hilang.  Nasi bekal daripada mak hanya beberapa sudu sahaja masuk ke mulutku. Aku menutup bekas itu semula.  Bekas plastik itu beralih tempat ke bawah meja. 
                “Ah, baik aku sambung kerja,”  kataku sendiri.   Rakan-rakan lain sedang tekun melakukan kerja mereka.  Tiada siapa yang bercakap.  Tekun benar mereka.
                Seperti biasa akulah orang yang paling terakhir keluar dari pejabat.  Aku pandang jam di tanganku.  Sudah semakin lewat petang.  Cepat-cepat aku bergegas ke stesen bas.  Tiba-tiba terasa ada sesuatu yang menarik beg galasku.  Aku menoleh.  Beg galasku ditarik dengan kuat.  Aku diragut.  Aku cuba menarik beg galas yang berisi laptop dan barangan peribadiku itu.  Aku tersungkur jatuh akibat rentapan kuat daripada peragut tersebut.  Aku  cuma dapat melihat bayangan seorang lelaki sedang bergelut dan berlari sebelum aku pengsan.
“Encik! Encik!”   panggil seseorang.  Perlahan-lahan aku membuka mata.   Aku masih lagi terasa pening.  Wajah yang tidak berapa jelas  di sebalik helmet yang cuma menampakkan sepasangn mata.
 “Aduh, kepalaku.” Aku memegang kepalaku.  Masih berdenyut dan berpinar-pinar rasanya.
“Perlahan-lahan encik.  Encik baharu sahaja diragut! Ini beg encik,” aku dipapah bangun oleh orang itu. 
“Awakkah yang telah selamatkan saya?” tanyaku kepada orang yang sedang menarik lenganku perlahan.
“Err, ya,  saya,” jawab orang tadi teragak-agak.
 “Mujur awak ada tadi. Syukur, Alhamdulillah. Masih ada insan yang sanggup membantu mangsa ragut seperti saya ni. Terima kasihlah sangat-sangat. Kalau tak…entahlah apa nasib saya.” Badan aku masih terasa sakit terhempas  atas batu tadi. “Boleh saya tahu nama awak?” Aku cuba pandang wajah penyelamat aku yang masih memakai helmet dan jaket serba hitam itu. Misteri pula gaya orangnya.
“Shim…” ringkas dia menjawab.
“Shim…?” Hairan. Pertama kali aku mendengar nama orang sesingkat itu.
“Panggil saja Shim.” Dia mula berundur.
“Eh, tunggu! Saya Fadzli… Khairil Fadzli. Boleh saya minta nombor awak? Ini business kad saya. Kalau awak perlukan apa-apa bantuan, jangan teragak-agak untuk telefon saya.”
Dia mencapai kad aku lalu beredar meninggalkan tempat itu. Tanpa sebarang jawapan.
“Fuyo! Macam Zorro. Aduh, kepala aku!”  Aku memegang kepalaku yang masih sakit.

III
Sampai sahaja di rumah aku terus disoal siasat oleh mak dan abah.  Habislah aku kali ini.  Aku memang sudah dapat agak aku tak akan terlepas.
 “Apa! Kau diragut?”  tanya mak dan abah serentak.  Mahu  bocor telinga aku mendengar suara mereka.  Wajah mak bagaikan baru tengok dinosaur yang keluar dari zaman batu. Mata abah membulat macam mata ikan Uji Rashid memandangku.
“Kau tak apa-apa, long? Kalau terjadi apa-apa kat kau, mak tak tahu macam mana nak terima berita tu, nak,”  mak mula menangis.  Habis badanku dibelek seperti senaskhah majalah.  Rimas pula rasanya.
 “Along tak apa-apalah, mak,” kataku meyakinkan mak.  Mak masih lagi teresak-esak, macamlah aku dilanggar lori treler.
“Tak apa-apa kata kau, long. Ni yang lebam berdarah ni apa?” cemas juga mak melihat luka di badanku.
“Bang, ambilkan kotak ubat! Along duduk sini.” Mak menarik tanganku.  Abah menurut sahaja kata-kata emak. 
“Kalau macam inilah hidup kau di bandar ni, along…baik kau pulang saja ke kampung,” perintah abah.
“Tapi, abah… along baru saja mula kerja di bandar ni. Tak sampai pun setahun,” jawabku.
“Itu abah tak peduli. Tanah kat kampung pun luas lagi. Cukup untuk cucu cicit kau nanti.”
“Tapi, bah…”
“Tak ada tapi-tapi. Balik abah kata, balik. By hook or by crook minggu ni juga.”
Abah aku tak habis-habis dengan kalut speaking dia.  Terpaksalah aku patuh.  Tak berani aku derhaka.  Kadang-kadang rasa aku seperti anak perempuan pula, sekali sahaja arahan mereka terus aku ikut.  Anak yang baiklah katakan.  Aku memandang wajah mak yang dibasahi air mata sambil tangannya membersihkan luka di badanku.  Aku tersenyum dalam hati.  Hati seorang ibu.  Biar besar mana pun anaknya itu tetap dianggap masih  kecil. 
  Emak dan abah kalau datang ke rumahku, kalau tidak berleter tak sempurna agaknya hidup mereka.  Mereka sanggup datang dari kampung semata-mata ingin melihat keadaanku.  Aku sahaja satu-satu anak mereka yang masih belum berumah tangga.  Setiap hari mereka memaksa aku cepat-cepat berkahwin.  Perlu sangatkah aku berkahwin?  Salahkah kalau aku terus membujang?    Kena pula balik ke kampung.  Kehendak orang tua, mahu tak mahu terpaksa turuti, suka atau tidak mereka tetap orang tuaku.
Seminggu aku di kampung, dapat juga aku membantu abah menternak ayam.  Walaupun bau  yang aku hidu tidaklah seenak bau pejabat yang berhawa dingin sekurang-kurangnya telinga aku rasa tenang daripada ejekan Eddie yang  aku gelar si Maharaja Lawak Singapura.    Aku tersenyum sendiri bila mengenangkan telatah rakan sepejabat aku itu.  Deringan telefon bimbitku membuang jauh-jauh wajah Eddie yang terbayang di ruang mataku.  Aku mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar.  Terpampang nombor yang tidak aku kenali.
“Ha… Hallo, saya bercakap dengan Encik Fadzlikah ni?”  pemanggil bertanya.  Dahiku berkerut.  Suara pemanggil itu sepertinya aku kenal?
“Ya, saya.  Siapa ni?”  Aku bertanya kembali. 
“Assalamualaikum, saya Sh… Shim.  Encik Fadzli masih ingat  lagi tak?” kata pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai Shim.  Shim?  Macam biasa dengar, tapi di mana?  Fikiranku berputar laju.  Cuba mengingati siapa yang empunya nama.
 “Shim! Ya, ya… waalaikum salam. Apa khabar? Saya ingatkan awak dah buang dah kad saya tempoh hari tu.” Tukasku.
“Baik. Alhamdulillah. Eh, takkan saya berani buat macam tu sekali.  Sebenarnya saja saya buat panggilan ni nak tahu keadaan encik selepas pengsan hari tu.”
“Tak perlulah awak nak berencik dengan saya. Panggil saja Fadzli atau Faz. Glamor sikit,” aku tergelak.
“Saya ada call pejabat en…maaf, Faz…tapi mereka kata Faz dah tak kerja kat sana lagi. Tu yang saya terus cuba dail nombor telefon bimbit Fadzli.”
“Ha ah, betullah tu. Sekarang saya dah jadi penternak. Penternak ayam  kat  Kampung Manggis II.”
“A..a..ayam..? Kampung Manggis II?”
“Eh, kenapa dengan awak ni? Asyik ulang balik apa yang saya baru sebut?” Kelakar pula aku rasa perangai budak Shim ni.
“Arr…okeylah. Saya pun dah tau yang Faz dah okey. Assalamualaikum.” Talian terputus. 
“Halo…halo…Shim…?” Pelik memang pelik aku rasa. Budak Shim ni memang penuh misteri. Aku masih memandang skrin telefon bimbitku yang sudah gelap. Lama aku berfikir. Aku memerhatikan ayam-ayam ternakanku. Walaupun seekor ayam jantan itu mengusha ayam-ayam betina yang lain, aku tengok tiada pun peperangan tercetus.
“Eh, apalah punya gila aku ni, nak mula bandingkan manusia dengan haiwan. Fadzli…Fadzli.” Aku tersengih keseorangan. Aku bukan tidak mahu kahwin, tetapi kisah penceraian, kegagalan rumah tangga membuatkan aku takut menghadapinya. Kawan-kawanku ramai yang terlibat dengan masalah rumah tangga. Hari-hari mereka bercerita tentang masalah mereka dengan isteri masing-masing. Perempuan ni banyak masalah rupanya. Mampukah aku menghadapi kerenah mereka. Fobia, fobia.
Aku baru sampai di depan pekarangan rumah. Belum sempat aku menanggalkan but kasutku, mak dah memanggil-manggil aku.
“Along! Along! Cepat, long.” Kelakuan mak yang begitu cemas membuat aku semakin panik.
“Kenapa dengan abah, mak? Pengsankah?” Jantung aku semakin kuat berdegup. Kepala lututku menggigil. Takut terjadi apa-apa yang kurang baik.
“Abah kau okey saja, long. Ni mak nak suruh along cepat mandi dan bersiap. Pergi, cepat!” Mak mendorong aku ke bilik air. Apa kena dengan mak ni.  Pelik perangai mak juga hari ni.
Usai mandi dan solat, aku dipanggil oleh mak lagi.
“Along! Along! Mari sini, nak. Cepat duduk sebelah mak.” Mak tepuk-tepuk sofa, beria-ria sangat suruh aku duduk.  “Mak ada berita baik untuk along,” sambung mak lagi.  Aku bersandar sebelah mak.  Senyuman mak berlainan betul daripada kebiasaannya.
“Apa dia, mak? Mak dari tadi asyik menjerit-jerit satu kampung panggil along, apa pasal?” Aku menunggu jawapan daripada mak.
“Pak chu dan mak chu nak datang…” ayat mak seperti tergantung. Mak sudah tak dapat menahan senyumnya lagi.
“Mak ni… kalau ya pun pak chu dan mak chu nak datang, apa pasal pula mak syok semacam?” Aku hairan.
 “Yalah, mereka datang bawa sepupu kau, Imah. Dah berbelas tahun korang tak berjumpa,” abah mencelah.
Kenapa tiba-tiba aku rasa seperti baru dilanda gempa bumi. Lantai kupijak terasa lembik. Jantung aku bagai nak tercabut lagi. Mesti ada rancangan yang tidak-tidak dari mak ni.
“Kami dah pakat nak jodohkan kau berdua,” jelas abah.
Kepalaku terus terasa sakit, berdenyut-denyut.  Terasa berat.  Mataku terus gelap.  Sedar saja aku, beberapa wajah mengelilingi aku.
“Along, dah sedar. Ni pak chu dan mak chu dah sampai. Imah pun ada.” Aku terdengar suara mak membisik di cupingku.
Badan aku terasa lemah, seperti ada benda yang tersangkut di tekak aku menyebabkan aku payah bernafas.
Malam itu, aku rasa tidak sedap hati. Aku nak luahkan perasaan galau aku kepada seseorang. ‘Shim’. Cepat-cepat aku mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarku. Ya, nombor panggilan masuk tadi masih tersimpan. Aku takut juga mengganggu ketenangan Shim malam-malam buta begini. Ah, baik aku cuba saja. Aku kena usir perasaan gelisah aku ini. Bunyi deringan lagu ‘Teman Pengganti’ nyanyi Black berkumandang di cupingku. Aku terbuai seketika.
“Assalamualaikum, Faz?” suara Shim perlahan seakan berbisik.
“Walaikum salam, Shim. Maaf, mengganggu awak malam-malam begini…” suaraku terbata-bata. “Saya perlukan seseorang untuk mendengar keluhan saya ni tapi maklum saja saya ni bukannya ramai kawan.”  Kataku memulakan mukadimah.  Walaupun aku tahu kami baru saja berkenalan tidak lama tetapi apa salahnya jika dia sudi mendengar.  Mudahnya aku menaruh kepercayaan kepadanya.  Biarlah bukan rugi apa-apa pun.
Mulanya aku memang rasa segan nak luahkan masalah aku kepada Shim tapi entah kenapa dengan Shim aku rasa begitu yakin. Seolah-olah kami memang serasi sebagai kawan akrab. Malam itu banyak yang aku dapat luahkan apa yang selama ini aku pendam menjadi rahsia aku sendiri.  Aku rasa lapang sedikit.
“Terima kasih, Shim. Kaulah satu-satunya kawan aku yang dapat aku percayai.  Selamat malam.”
“Layla saida, Faz.” Shim mengakhiri bicaranya.  Aku masih kalut mencari makna ‘layla saida’. Nama perempuan mana yang disebutnya tadi? Aku tersenyum sendiri. Sedap juga nama tersebut. Kalaulah aku berkahwin mungkin nama itu aku letak sebagai nama anakku nanti.  Kahwin?  Oit!  Tak mungkin!
“Eh, Imah pun masih belum tidur lagi?”  kataku sendirian.  Aku ternampak sepupuku Imah berlalu masuk ke biliknya. Mungkin orang bandar seperti Imah masih belum dapat suaikan diri dengan keadaan di kampung.  Maklumlah orang kelulusan luar negera. Ah, baik aku masuk tidur.  Esok kerja,  aku kena beri makan ayam dan kutip telur ayam lagi.  Mata pun sudah mulai kelat.

Mak mengejutkan aku untuk solat subuh berjemaah.  Usai solat,  aku tengok Imah sudah berada di dapur membantu mak dan mak chu.  Aku belum berkesempatan berbual dengan Imah.  Ah, biarkan sajalah.  Tidak perlu terlalu mesra alam.  Sewaktu sarapan pagi, abah menyuruh aku bawa Imah keliling kampung.  Hampir tersembur kopi pekat yang aku minum.  Aku tahu taktik kotor abah tu.  Saja abah nak aku lebih rapat dengan Imah.  Empat pasang mata sedang memerhatikan aku.  Seram sejuk aku dibuatnya.
“Imah, nanti bolehlah ikut along melawat kawasan kampung,” kata abah kepada anak buahnya.  Mak chu menyengih ke arahku.  Aku tersenyum.  Wajibkah aku bawa sepupu aku itu tengok kampung?  Sebelum ini dia tidak pernah tengok  kampungkah? Detik hati kecilku.
“Lagi pun kau orang berdua  tentu belum kenal sangat, kan.  Bolehlah berbual-bual dan saling kenal mengenali,” sampuk mak gembira.  Aku memandang wajah mak.  Mak mengenyit mata.  Tentu nak kenakan aku lagilah ni.  Mak, mak.  Tidak habis-habis dengan cita-citanya hendak melihat aku berkahwin.  Kata orang berkahwin dengan sepupu tidak baik.  Boleh dapat anak cacat dan tidak cerdik.    Kalau aku kahwin dengan sepupu aku, semua anak-anak aku nanti cacat, macam mana? Ee! Takut memikirkannya.  Kalau boleh biarlah tidak jadi.  Tak mahu aku dapat anak cacat dan bodoh.
“Hari panaslah mak, takkan nak meredah sawah di tengah-tengah panas ni.  Takkan Imah sanggup kulitnya yang putih bersih itu dimamah kepanasan mentari ,”  aku cuba mengelak.
“Bawa payung,”  mak menjegilkan mata.  Aku menunduk. 
“Imah tak kisah pun panas.  Dah biasa,”  Imah curi-curi memandang wajahku.  Aku mengalihkan pandanganku.  Dia tidak kisah, tapi aku kisah.  Aku tidak suka berdua-duaan dengan perempuan.  Apa kata orang kampung nanti.  Bagiku memenatkan dan menyesakkan nafasku.  Lebih-lebih lagi dia adalah calon bakal menjadi isteriku.  Rimasnya.  Mak terkidum memberi tanda ‘thumb up’ kepada aku.  Aku menarik muka, protes.  Abah tersenyum.  Mak Chu dan pak chu turut menyengih.
“Doa orang tua ni selalunya diterima ALLAH, Faz,”  usik mak chu.
“Doa apa  mak chu?”  soalku bagaikan orang tolol.
“Doa supaya kau nak berkahwin,”  sambung pak chu.  Imah  tersenyum sahaja.  Matanya menunduk memandang  ke arah lain.  Mesti ketawakan akulah tu. 
“Tak boleh ke berdoa, supaya Faz jadi kayakah, berjaya jadi usahawankah?  Ini doakan kahwin pula?”  aku mencebik. 
“Berkahwin inikan sunah Rasulullah.  Lagi pun orang  berkahwin ni pahalanya banyak.  Rezeki pun murah.  Itu sebab faz tak kaya-kaya sebab tak kahwin lagi,”  kata abah pula.  Semakin sakit telinga aku mendengarnya.
“Betul tu, bila berkahwin, dapat zuriat bermakna kita memperbanyakkan lagi umat Nabi Muhamad  SAW.  Bagindakan suka umat yang ramai,”  kata pak chu pula.  Asyik nak mengenakan aku saja.  Siap bawa kisah sunah pula. 
“Mak pun kalau mati boleh pejam mata rapat, bila along dah kahwin,” kata mak, wajahnya muram.  Sedih pula aku mendengarnya.
“Jom Imah,  selagi duduk di sini, kang keluar pula tahi telinga Faz dengan leteran mereka,”  aku berlalu ke ruang tamu dan terus keluar rumah.  Kalau aku tunggu lagi pasti aku pengsan dekat meja makan nanti.  Aku mendengus kasar.  Imah mengikut aku dari belakang. 
“Imah nak ke mana dulu?”  tanyaku.  Aku menoleh.  Imah mendekatiku.  Dia mengangkat bahu.  Aku mengeluh.  Aku terus berjalan.  Dia hanya mengikut.   Malu sangat-sangatkah?  Aku menggelengkan kepala.  Susah layan orang perempuan ni.  Kenapalah dia hadir di saat aku suka dengan hidup aku.  Buat menyusahkan sahaja.  Emak dan abah tentu akan memaksa aku berkahwin.  Kalau aku tak mahu mereka boleh buat apa.  Orang tua, manalah mereka tahu perasaan aku.  Apa yang mereka tahu bila umur anak sudah meningkat wajib dinikahkan. 
Tak tahukah mereka di luar sana kes penceraian berlaku setiap seminit.   Isteri curang, lelaki pun ramailah.  Aku tidak nafikan lelaki pun ramai yang curang dan tidak bertanggungjawab.  Itu sebab aku takut.  Aku fobia.  Aku takut, aku tidak boleh bertanggungjawab.  Mampukah aku nak didik isteri dan anak-anak aku nanti.  Ada mereka fikir semua itu.   Tak tahukah mereka besar tanggungjawab jadi suami dan ketua keluarga.  Segala perbuatan isteri ditanggung oleh suami.  Mampukah aku?  Aku sendiri tidak yakin dengan diriku.  Kenapa mereka pula yang terlalu yakin.  Risau sangat aku tak kahwin.  Aku seronok dan gembira saja jika tiada seorang isteri pun.  Apa masalahnya.  Kalau mak dan abah tak nak jaga aku.  Aku sudah cukup dewasa untuk jaga diri sendiri.  Tidak pernah aku merungut pun.  Walaupun kadang-kadang waktu duduk rumah bujang aku makan maggi saja tapi aku tetap bahagia.  Tengok kawan-kawan aku biarpun makan minum mereka terjaga, ada yang masak dan basuhkan pakaian namun asyik mengeluh sahaja kerana perangai isteri mereka.  Tak mahulah aku hadapi keadaan seperti itu.  Buat sakit kepala saja. Susah betul hidup ini.  Biar jadi anak kecil tak perlu kahwin dan tiada siapa memaksa suruh kahwin.  Aku terus mengomel sendiri.  Susahlah kalau orang tua tidak faham perasaan anak sendiri.  Kenapa orang tidak mahu faham perasaanku?  Kenapa susah sangat mereka hendak mengerti.  Aku tidak mahu kahwin!  Tak mahulah! Aku menendang batu di  atas jalan yang aku nampak dengan kuat, bergolek laju masuk ke dalam longkang,  Imah menoleh memandangku.  Aku menyengih.  Dia mengerutkan dahi.  Tentu hairan dengan perangaiku.  Biarlah dia nak fikir apa pun pasal aku.  Ada aku kisah.
Mula-mula sekali aku bawa Imah keliling kawasan sawah padi. Aku perhatikan cara Imah berjalan semasa melalui batas-batas kecil. Langsung tak takut dengan pacat. Sempat aku bawa Imah ke tepi sungai.  Nampaknya sepanjang lawatan kami, aku saja yang bercakap. Imah pula asyik mengangguk. Sampai terlintas di kepala aku, Imah ni pendiamkah atau pak turut macam aku? Jalan pun asyik menunduk.  Akhirnya, kami singgah di kawasan penternakan ayam tempat aku selalu bekerja.  Aku berjalan sambil bercakap tidak ubah seperti pemandu pelancong.  Aku berhenti.  Semasa aku toleh ke
kanan dan ke kiri, Imah pula tidak kelihatan. Aku toleh ke belakang, rupanya Imah berdiri agak-agak 50 meter daripada aku. Aku melambai memanggil Imah. Dia menggeleng. Aku cuba lambai lagi. Imah tetap enggan berganjak.
“Imah! Sini!” Jeritku kepada Imah. Akhirnya, aku beralah. Aku melangkah menuju ke tempat Imah berdiri. Aku cuba menarik lengan Imah. Masih enggan berganjak.
“Jomlah. Buat apa awak tercegat kat sini. Panas ni.” Aku cuba memujuk. Agaknya dia keletihan ni. Selangkah aku menarik Imah, seinci dia bergerak.  Kenapa pula dengan budak ni? Nak kena sawankah?  Kenapa dengan Imah, hatiku berdetik.  Tiba-tiba  seekor ayam jantan yang memang berlepasan terbang berhampiran kami. Imah melompat dan merangkul tengkukku. Badannya menggigil. Kepalanya di dadaku. Aku pula mendukungnya seperti pengantin baru. Jantungku pula berdegup semacam. Aku hilang kata-kata. Mataku terbeliak. Terperanjat beruk aku. Pertama kali aku mendengar Imah menjerit dan meronta-ronta.  Macam terkena histeria pula.  Aku semakin mengelabah.  Takut pula aku melihat keadaan dirinya itu.  Tidak pernah aku melihat orang takut dengan ayam.  Pelik.  Ada jugakah orang seperti ini?  Menyusahkan betul.  Aku mengetap bibir. Tangannya masih melingkari tengkukku.
“Dah…dah…dah…awak ni kenapa?” Aku cuba bertanya. Perlahan-lahan Imah mendongakkan kepalanya. Mata kami saling berpandangan. Pertama kali juga aku memandang mata Imah dari jarak dekat.  Mataku semakin membesar. Sepasang mata itu?  Mata yang pernah aku tatap sebelum ini.  Tetapi di mana?  Ah!  Fikiranku berputar lagi.  Jangan sampai tercabut sudahlah.  Tidak mungkin!  Tidak mungkin!
Bila Imah sudah benar-benar tenang, aku pun melepaskan dia. Jantungku sepertinya baru saja lepas buat larian pecut 400 meter.  Imah memandang aku yang masih tercengang dengan mulutku ternganga.  Muka Imah bagaikan baru sahaja lepas melihat hantu.  Pucat lesi wajahnya.  Bagaikan tidak  berdarah.  Mata kami saling bertembung.   Dia berlari balik meninggalkan aku.  Aku terduduk.  Lama baru aku tersedar.  Aku capai telefon bimbit aku dan mendail nombor Shim.  Berdering tapi tidak dijawab.
Petang itu, aku mula bertanya kepada mak pasal Imah.  Aku terkejut bila aku tahu siapa Imah. Mak rasa hairan tiba-tiba aku berminat ingin mengetahui tentang sepupu aku itu.  Malam itu juga, aku mencari kesempatan untuk mendekati Imah.  Kami berborak.  Imah terasa malu dengan kejadian pagi tadi.  Rupanya Imah juga ada fobia iaitu Alektorophobia, fobia akan ayam.  Anehnya, Imah boleh pula makan daging ayam masak gulai hari pertama mereka sampai.  Lucu pula bila aku memikirkannya.  Rasa nak gelak tergolek bila bayangkan gelagat Imah pagi tadi.
Imah menceritakan bagaimana dia boleh menjadi fobia dengan ayam.  Kisahnya bermula kira-kira dia berusia 5 tahun, di mana Imah dikurung oleh budak-budak yang nakal dalam reban ayam.  Puas pak chu dan mak chu berusaha mencari Imah.  Apabila mereka berjaya menemui Imah, dia berada dalam keadaan trauma.  Patutlah Imah seperti histeria pagi tadi.   
“Tak sangka ya awak fobia dengan ayam?” kataku.  Imah tersenyum malu.
“Kejadian itu benar-benar menakutkan.  Satu reban penuh dengan ayam.  Saya pula dikurung, ayam-ayam itu marah reban mereka dikacau.  Sejak itu saya takut sangat dengan ayam.  Biar pun saya suka makan ayam,”  guraunya.  Dalam bercerita masih lagi sempat bergurau.  Aku tersenyum.
“Puas hati, lepaskan geram dengan makan ayam,”  pecah gelaknya.  Aku turut ketawa membayangkan bagaimana Imah merata-rata  ayam yang telah menjadi lauk hidangan. 
“Kelakar juga awak ni ya?” kataku.  Kami saling tersenyum.  Cantik juga sepupu aku ni.  Manis dan lembut orangnya.  Kami terus bersembang tentang keluarga, kisah waktu kecil.  Soal kerja dan minatnya.  Itulah yang berlaku ketika aku bersama  Asmah dan Rosmizah.  Sampai bab kahwin, aku tidak mampu lakukan.  Untung mereka sendiri kurang berkenan dengan aku.  Kalau tidak, jenuh juga jika mereka memaksa aku mengahwini mereka.
Tanpa disedari waktu semakin lewat, Imah meminta izin untuk masuk tidur.  Ketika Imah hendak bangun, aku ucapkan sesuatu kepadanya.
“Layla saida, Shim,” kataku kepada Imah.  Walaupun tidak faham maksudnya, tetap sedap dilafazkan.  Seronok pula rasanya.
“Layla saida, Faz…” jawab Imah tanpa disedari pancinganku mengena.  Imah terperanjat.  Matanya memandang tepat ke mataku.  Kali ini semua misteri telah terbongkar akhirnya.
“Awak sebenarnya yang telah selamatkan saya semasa kejadian ragut tempoh hari, bukan? Shim a.k.a Shimah Basri?” kataku kepadanya.  Dia tersenyum memandangku.  Aku membalas senyuman manisnya itu.  Gelak tawa kami memecahkan hening malam.  Saling kenal dan berhubung tetapi tidak menyangka kami adalah sepupu.
“Bang, abang dengar tu?” tanya mak sambil mengendap di balik langsir.
“Dengar… tandanya tak lama lagi kita bakal menimang cucu,” kata abah sambil menari seperti dalam filem Ahmad Albab.   
Mak dan abah menyengih sehingga ke telinga apabila aku menyatakan persetujuan aku untuk bernikah dengan Imah, sepupuku sendiri.  Pak chu dan mak chu turut gembira mendengar berita tersebut.  Imah juga bersetuju menerima aku sebagai calon suaminya.  Sepupu pun sepupulah.  Kata mak, janji aku mahu kahwin.  Bekas kawan-kawan sepejabat turut terkejut apabila menerima kad undangan perkahwinanku.  Mereka seperti tidak percaya yang aku akan berkahwin.  Bujang telajak hendak berkahwin.  Terlopong mulut  Eddie waktu kad bertukar tangan.  Kali ini aku pula yang ketawa lagak Maharaja Lawak Singapura.
“Dah hilangkah fobia kau dengan perkahwinan, Faz?” masih sempat mengusikku.  Aku mencebik.
“Aku pun ada keinginan,”  tukasku membela diri.  Tidak mahu kalah.  Eddie  tersenyum sinis seolah-olah tidak percaya dengan kata-kataku.  Ah!  Peduli apa kalau dia percaya atau tidak.  Aku yang hendak kahwin.
“Harap kau tak pengsan waktu  akad nikah nanti ya,”  Eddie mengenyit mata.  Dia ketawa.  Aku mencebik.  “Kalau nak bergurau pun agak-agaklah sikit jangan berlebihan sampai boleh membuat orang lain jadi marah.”  Aku berlalu dengan hati yang sebal.  Ucapan tahniah turut diterima daripada rakan-rakan yang lain.  Mungkin mereka tumpang  gembira dengan berita perkahwinanku.  Bahagiakah aku?  Tentulah aku bahagia kahwin dengan gadis yang bertakhta di hatiku sendiri.  Sepupu pun apa salahnya jika hati sudah berkenan.
Adik beradikku turut tumpang gembira, walaupun ada juga yang menyindir dan mengusik namun aku biarkan sahaja.  Ramai saudara mara seperti tidak percaya yang fobiaku sudah hilang terhadap perkahwinan.  Biarlah.  Mereka ada mulut dan akal untuk bercakap dan berfikir.  Ini soal kehidupanku dan kehendak  orang tuaku.
“Along, betul ke ni?  Jangan pengsan waktu akad nikah sudahlah,”  usik angah.  Ayat yang sama seperti Eddie.  Teruk sangatkah.  Ah! Biarlah.
“Jangan along koma sudahlah ya,”  usik adik bongsuku.  Asmah dan Rosmizah kedua-duanya  turut tersenyum.  Aku mencebik.
“Tak sangka kahwin juga along akhirnya, ya,”  kata Asmah.  Aku mengangkat kening.
“Kenapa? Kau ingat along tak berani? Kalau sudah cinta melekat di hati, gunung pun nampak rata.” Aku sendiri tidak percaya kata-kata itu terpacul dari mulutku sendiri. 
“Bukan tak berani, takut along fobia!”  kata Rosmizah terus ketawa.  Hatiku terasa panas.  Kalau aku tunggu mengadap mereka lagi teruk mereka usik aku. 
“Along, tak semua perkahwinan tu teruk, tengok kami ni.  Bahagia saja, along bakal dapat anak buah lagi,”  kata angah meyakinkan aku.  Aku tersenyum.
“Ha ahlah along, janganlah takut.  Bercerai dan berpisah itu perkara biasalah.  Apa yang penting bagaimana kita nak rumah tangga kita tu kekal bahagia.  Along jangan bimbang ya, ucu yakin, kak Imah mampu menjadi isteri yang baik dan bertanggungjawab.  Bukan seperti yang selalu along bayangkan.  Kenalah positif dengan diri sendiri dan orang lain, long,”  adik bongsuku menepuk bahuku.  Aku mengeluh.  Aku kena yakin dengan diriku sendiri.  Aku harus berani.
“Alhamdulillah, akhirnya cucu nek long nak juga kahwin ya,”  kata seseorang dari belakangku.  Aku menoleh.  Nenek saudara sebelah makku.  Dia duduk di sisiku sambil tersenyum.
“Rumah tangga ni cu, bukan semuanya teruk.   Perempuan pun bukan semuanya tidak baik.  Harap kali ini berjaya ya, cu.” Kata-kata nenek saudaraku itu menjadi pembakar semangatku. Aku teliti kembali nasihat mereka.  Mungkin juga?  Asmah dan Rosmizah setakat ini baik saja.  Tidak pernah pula adik-adikku bercerita tentang perangai isteri mereka.  Mungkin aku sahaja berfikiran negatif terhadap perkahwinan dan perempuan. 

Tidak sampai sebulan persiapan untuk majlis akad nikah pun berlangsung.  Hari yang sungguh bermakna bagiku.  Aku dapat rasakan dengupan jantungku berbunyi lebih kuat daripada bunyi pukulan kompang di luar.
Masa duduk menghadap tok kadi, tanganku asyik berpeluh sejuk. Dalam hati, macam-macam surah aku baca dan berselawat tak berhenti.  Bila tok kadi hulurkan tangannya, aku terus tangkap dan genggam erat.  Berpeluh juga aku.
“Bertenang. Jangan menggelabah. Sekarang ikut apa yang tok kadi lafazkan,” jelas tok kadi mempamerkan barisan giginya yang putih walaupun dia sudah agak berusia.
Aku pun dengar betul-betul. Dengan sekali lafaz, “Aku terima nikahnya Shimah binti Basri dengan mas kahwin 555 ringgit tunai.” Aku goncang tangan tok kadi sekali.  Semua yang ada mengatakan ‘sah’.  Aku lafazkan ucap syukur kepadaNya.  Akhirnya, aku telah melepasi gamophobia aku. Saat aku ingin menyarungkan cincin dan membatalkan air wuduk, tiba-tiba aku rebah.
“Abang! Tolonglah jangan buat Imah takut, bang!” Mata Imah mula berkaca. 
Dia menggoncang badan Fadzli.  Fadzli membuka matanya perlahan dan tersenyum.
“Abang saja nak kenakan, Imah. Nak tengok macam mana Imah nak selamatkan abang pula kali ini,” sambil kenyitkan mataku.
“Mana nak tumpah kuahnya kalau bukan ke nasi. Like father like son. Romantik gitu.  Dapatlah kita berbulan madu lagi ya, sayang.” Abah menyenggol badan mak sambil menjongket-jongketkan keningnya.
“Jangan mimpi ya, bang.  Hari ni abang kena cuci periuk belanga.  Along kan dah jadi Raja Sehari,” mak mengherotkan mulutnya.
“Ah, pengsanlah aku kali ni. FOBIA.”  Kata abah.
“Eh, mak… rupanya abah pun ada fobia jugakah?” kami bertanya.
“Bukan fobia tapi penyakit 2M.  Manja dan malas.” jelas mak kepada kami.
 Kini, aku dan Shimah sudah sah sebagai suami isteri tapi tinggal satu lagi persoalan yang ingin aku tanya kepada Imah, isteri kesayangan aku.
“Sayang, kalau kita ada anak perempuan nanti abang nak namakan dia ‘Layla Saida’.  Sedap kan nama tu.  Apa makna Layla Saida tu?” Aku tebalkan muka nak tahu maknanya.
Shimah tersenyum lalu menjawab, “Itu maknanya ‘selamat malam’ dalam bahasa Arab.”  Aku tepuk dahiku tapi aku tetap suka nama  ~ Layla Saida ~.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan